KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2021 – Kursus Pengurusan Risiko Rasuah (PRR) bagi pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Siri 9/2021 telah dianjurkan oleh Akademi Pengecagahan Rasuah Malaysia (MACA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 23-26 Ogos 2021 secara maya menggunakan platform Zoom Meeting. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berpeluang terlibat sebagai peserta bagi Kursus PRR OACP Siri 9/2021 dengan kehadiran daripada Unit Integriti, Unit Pengurusan Risiko, Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Bahagian Audit Dalam dan Jabatan Undang-Undang.

Kursus ini diadakan selama empat (4) hari secara dalam talian sepenuhnya dan sesi latih amal turut menggunakan platform Google Classroom yang interactif serta membolehkan perbincangan antara peserta, fasilitator, penceramah dan panel penilai dengan berkesan. Penceramah bagi kursus kali ini disampaikan oleh Puan Noor Azurainy Mohd Nordin dari Ibupejabat SPRM Putrajaya dan dibantu oleh fasilitator, Puan Normaliza Jaafar dari SPRM Negeri Sembilan beserta dengan fasilitator lain dari SPRM. Pelan Antirasuah Organisasi yang akan dibangunkan bertujuan untuk menangani permasalahan dan kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam organisasi.

Sepanjang kursus ini, peserta-peserta diajar kaedah membuat analisa data, penyediaan borang Corruption Risk Assessment (CRA), Pelan Tindakan atau Inisiatif seterusnya kerangka Pelan Antirasuah Organisasi (OACP). Pada sesi ini, USIM bersama dengan empat (4) lagi agensi kerajaan yang lain yang turut memberikan komitmen untuk bertungkus lumus menyiapkan draf pelan OACP agensi masing-masing selaras dengan hasrat yang dinyatakan dalam inisiatif 2.1.5 Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

Sesi akhir kursus ini, peserta bagi setiap agensi membentangkan draf Pelan OACP masing-masing yang akan dinilai oleh panel penilai SPRM yang Mahir. Pihak USIM mengucapkan terima kasih kepada penceramah, fasilitator, penilai, pemerhati dan urus setia MACA SPRM di atas kesudian menganjurkan kursus ini serta berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan dengan pembangunan OACP. Diharapkan agar pembangunan pelan OACP ini dapat menyokong hasrat Kampus Barakah USIM untuk menjadi sebuah kampus yang bebas daripada rasuah, berintegriti tinggi serta mengamalkan tadbir urus yang terbaik.

Disediakan oleh

 

Faizudin Ahmad
Penolong Pendaftar
Unit Integriti
Universiti Sains Islam Malaysia