NILAI, 8 Mac 2024 – Sempena dengan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2024, Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM telah menganjurkan satu program ceramah “Wanita dan Maruah Keluarga: Pelindung atau Punca Masalah”. Program ini merupakan satu usaha sama antara Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM dengan Jabatan Perpustakaan, Jabatan Pendaftar, Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH), Kelab Wardah USIM, Kelab Setiausaha USIM (KSU), Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (Bakriyah), Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Sembilan dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan.

Program ini dimulakan dengan sesi bertajuk “Penglibatan Komuniti Dalam Pencegahan Jenayah Seksual Wanita dan Remaja” yang telah disampaikan oleh ASP Chong Meei Chyi, Pegawai Turus D11, Kontingen Negeri Sembilan. Sesi ceramah diteruskan oleh Puan Rosmawati Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Raudhatus Sakinah, Selangor dengan tajuk “Tragedi Korban Cinta Remaja: Apa Ibu bapa Patut Tahu?”. “Teknik Membentuk Kesedaran Rububiah Dalam Jiwa Anak” merupakan tajuk bagi sesi ceramah yang ketiga di mana tajuk ini telah dikupas oleh Encik Muhamad Fitri Abdul Razak, Penolong Pendaftar, Pusat Islam USIM. Seterusnya, sesi ceramah terakhir bagi program pemerkasaan wanita ini telah disampaikan oleh Dr. Nathratul Ayeshah Zulkifli yang merupakan seorang Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM. Beliau memberikan ceramah yang bertajuk “Menangani Cabaran Kesihatan Mental Akibat Jenayah Seksual: Peranan Kita Bersama”.

Sejumlah kira-kira 130 orang peserta telah hadir bagi menyertai program ini dan rata- ratanya adalah dalam kalangan kakitangan dan pelajar di USIM dan sebahagian kecil adalah dalam kalangan komuniti di sekitar Negeri Sembilan. Antaranya adalah seperti wakil daripada penduduk Muslimat Desa Jati, Nilai, Pejabat Pilihanraya Negeri Sembilan, wakil pengurusan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Raja Melewar (IPGM Raja Melewar), Jabatan Pendaftaran Negara, Negeri Sembilan serta wakil-wakil dari sekolah-sekolah di sekitar kawasan Nilai.

Secara keseluruhannya, program “Wanita dan Maruah Keluarga: Pelindung atau Punca Masalah” yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM ini merupakan salah satu platform bagi memberi pencerahan, menyebarkan kesedaran dan meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan dengan pemerkasaan peranan dan fungsi wanita dalam kerjaya, keluarga dan masyarakat khususnya untuk warga USIM dan masyarakat di sekitar Negeri Sembilan.