Serdang, 9 Julai 2024 – SCIROSH, USIM telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Lawatan ini melibatkan empat wakil dari USIM dan tujuh wakil dari PKKP UPM. Program ini bertujuan meninjau pendekatan UPM dalam melaksanakan amalan terbaik serta pengurusan audit keselamatan dan kesihatan pekerjaan, yang boleh dijadikan panduan untuk penambahbaikan di USIM.

Antara agenda utama lawatan termasuk:

  1. Taklimat dari PKKP UPM – Menampilkan pembentangan mengenai struktur pengurusan keselamatan, pelaksanaan dasar, dan inisiatif utama PKKP UPM dalam memastikan keselamatan dan kesihatan di kampus berada pada tahap optimum.
  2. Lawatan Lokasi Strategik – Peserta dibawa melawat fasiliti utama di UPM bagi menilai aplikasi praktikal sistem keselamatan yang telah dilaksanakan.
  3. Sesi Perbincangan – Pertukaran pandangan dan pengalaman antara kedua-dua universiti berhubung cabaran dan langkah strategik dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Objektif utama lawatan ini adalah untuk menggalakkan perkongsian ilmu pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman antara kedua-dua universiti. Melalui lawatan ini, dapat melihat secara langsung suasana tempat kerja dan ruang yang digunakan dalam Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di UPM. Selain itu, lawatan ini merupakan salah satu alternatif bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang tugas masing-masing secara langsung di samping mengadakan jalinan hubungan dan kerjasama yang lebih erat di antara USIM dan UPM bagi melancarkan urusan dan proses kerja.

Secara keseluruhannya, lawatan penandaarasan ini memberi alternatif yang berharga bagi membuka minda yang sihat antara USIM dan UPM untuk lebih bersemangat dalam meningkatkan lagi personaliti, imej dan kualiti kerja dalam aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.