NILAI, 8 November 2022 – Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program Bicara Integriti bertajuk Tuntutan Palsu Adalah Satu Jenayah Rasuah pada 8 November 2022. Program ini merupakan anjuran bersama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Pegawai Integriti Universiti Awam Malaysia (MPIUA).
Program ini diadakan secara dalam talian menerusi platform Facebook Live dan Youtube USIMTV dan rakaman diadakan di Studio Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM dengan menampilkan YBhg. Dato’ Muhammad Salim Sundar, Ahli Jawatankuasa Audit Universiti sebagai panel dan Encik Ahmad Yussof Zainal Abidin dari StraComm sebagai moderator.
Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu meminta/menerima rasuah, memberi suapan, mengemukakan tuntutan palsu dan salah guna kuasa. Pada bicara integriti hari ini, tuntutan palsu adalah berkait dengan salah guna kuasa di mana tuntutan palsu dinyatakan pada Seksyen 18, Akta SPRM iaitu kesalahan dengan maksud untuk memperdayakan prinsipal oleh ejen. Manakala, Seksyen 23, Akta SPRM menjelaskan berkenaan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.
Sesi siaran langsung tersebut berjaya meraih bilangan penonton melebihi seratus penonton serta mendapat pelbagai soalan daripada peserta daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Universiti Awam dan agensi-agensi kerajaan berkaitan dengan isu tuntutan palsu yang berlaku di dalam organisasi. Dalam sesi tersebut, panel turut memberikan contoh-contoh kes yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, senario yang dilakukan oleh pesalah tuntutan palsu dan kesan jenayah tersebut kepada organisasi serta individu.
Antara contoh-contoh tuntutan palsu yang sering dilakukan dan dihebohkan dalam media massa adalah kesalahan dalam tuntutan perjalanan atau perbatuan, resit perbelanjaan palsu, menyalahguna sijil cuti sakit, jumlah barang yang diterima tidak sama dengan dokumen perolehan, membuat tuntutan menggunakan resit hotel sedangkan menginap bukan di hotel (lojing) kerana nilai yang lebih tinggi. Berdasarkan kepada Akta SPRM, pesalah tuntutan palsu ini boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima (5) kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000 mana lebih tinggi.
Pada hujung sesi tersebut, panel turut berkongsi dengan penonton agar segera melaporkan kesalahan tuntutan palsu yang dilakukan oleh staf kepada Unit Integriti agensi masing-masing untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap aduan tersebut. Panel juga mengesyorkan agar Ketua Jabatan atau penyelia sentiasa memainkan peranan dalam aspek penyeliaan staf bawahan khususnya semasa membuat sebarang tuntutan agar sektor awam dapat mengamalkan tadbir urus yang baik dan bebas daripada rasuah.