NILAI, 14 Februari 2024 – Pusat Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Taklimat Pengurusan Tatatertib dan Pengurusan Risiko Kepada Ketua Jabatan USIM bertempat di Dewan Senat, Bangunan Canselori USIM.

Objektif utama program ini diadakan ialah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada Ketua Jabatan berkaitan peraturan dan perlanggaran tatatertib penjawat awam, memberi kefahaman terhadap keperluan dan kepentingan pengurusan prosedur tatatertib dalam perkhidmatan awam, meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan berhubung pengurusan risiko dalam kalangan Ketua Jabatan dan memberi pendedahan kepada Ketua Jabatan berkenaan kepentingan pengurusan risiko.

Taklimat dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah SCIROSH iaitu, Encik Mohd Asri Haji Husain. Taklimat ini diteruskan dengan sesi ceramah pertama berkenaan dengan Pengurusan Tatatertib yang disampaikan oleh En Ahmad Azhan Mohd Noh, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan, Unit Laporan Ketua Audit Negara dan Operasi Khas, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kemudian diteruskan dengan sesi Taklimat Pengurusan Risiko oleh Prof. Roslina Ab. Wahid, Pengarah, Pusat Pengurusan Risiko, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Taklimat ini turut dihadiri oleh peserta jemputan dari luar USIM iaitu dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perpustakaan Negara Malaysia, Lembaga Getah Malaysia dan Universiti of Nottingham.

Kesimpulannya, taklimat yang dijalankan oleh SCIROSH USIM ini amat penting untuk memberikan pendedahan kepada Ketua Jabatan USIM serta peserta jemputan dari pelbagai agensi luar mengenai keperluan dan kepentingan dalam menguruskan tatatertib dan risiko dalam perkhidmatan awam.