BICARA SCIROSH SIRI 1/2024

NILAI, 5 Mac 2024- Program Bicara SCIROSH Siri 1/2024 bertajuk “Amalan Terbaik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pemenang Anugerah KKP Negara 2022” merupakan satu program yang telah dilakukan oleh Jabatan Pusat Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Program ini bertujuan untuk memberi perkongsian dan percambahan ilmu tentang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kepada seluruh warga USIM.

Melalui medium online menggunakan aplikasi MsTeams, penceramah Puan Armawaty Natasha Abdul Rahman, Ketua Pentadbiran Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah telah memberi pendedahan dan pemahaman yang penting tentang topik yang dibincangkan.

Objektif program ini diadakan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran kepada seluruh warga USIM tentang tanggungjawab di universiti dengan mematuhi perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mendapatkan input dan maklumbalas bagi memantapkan pembudayaan dan aplikasi nilai-nilai yang baik dalam amalan pengurusan dan perkhidmatan kerja di universiti. Dengan memperkenalkan SCIROSH serta peranan dan fungsinya kepada seluruh warga universiti, program ini turut membantu dalam memperkukuhkan kesedaran dan komitmen terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kalangan staf dan pelajar USIM.

Secara keseluruhannya, Bicara SCIROSH Siri 1/2024 tidak hanya memberi kesedaran tentang pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tetapi juga membantu dalam pembentukan budaya keselamatan dan kesihatan yang kukuh di USIM. Ini merupakan langkah positif dalam memastikan bahawa lingkungan kerja di universiti adalah selamat dan berkualiti, serta mempromosikan nilai-nilai keselamatan yang tinggi dalam komuniti universiti secara menyeluruh.