PETALING JAYA, 12 Oktober 2021 – Unit Integriti SCIROSH USIM telah mengadakan lawatan penanda aras (benchmarking visit) secara dalam talian ke Unit Integriti Universiti Malaya (UM) menggunakan platform Microsoft Teams pada 12 Oktober 2021, pukul 3.00 petang. Lawatan ini bertujuan untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan dengan pengurusan Unit Integriti UM serta berkongsi amalan pengurusan terbaik dalam menjalankan fungsi-fungsi teras Unit Integriti yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 dan Garis Panduan Pengurusan Unit Integriti Agensi Awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lawatan dan perbincangan ini dihadiri oleh Ketua Bahagian SCIROSH USIM, Tuan Haji Mazlan Nawang dan staf dari Seksyen Integriti dan Pengurusan Risiko SCIROSH USIM. Manakala pihak Unit Integriti UM dihadiri oleh Puan Nor Aishah Samah, Ketua Unit Integriti UM dan staf dari Unit Integriti UM. Dalam lawatan ini, Unit Integriti USIM berpeluang untuk mendapat input perkongsian daripada Unit Integriti UM berkaitan dengan latar belakang penubuhan Unit Integriti UM, struktur organisasi, Jawatankuasa, Dasar, Polisi, Standard Operating Procedure (SOP) dan program pengukuhan integriti yang dijalankan.

Ketua Unit Integriti UM yang juga merupakan Pengerusi bagi Majlis Pegawai Integriti Universiti Awam (MPIUA) turut berkongsi dengan pihak Unit Integriti USIM berkaitan dengan peranan MPIUA dan program yang dirancang untuk dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada semua Unit Integriti Agensi Awam dalam usaha untuk memantapkan lagi tadbir urus dan integriti serta membendung gejala rasuah di Universiti Awam. Dengan pengumuman oleh Kerajaan yang telah membenarkan aktiviti rentas negeri bagi individu yang lengkap di vaksin dan pematuhan SOP, MPIUA bercadang akan melaksanakan program yang telah tertangguh disebabkan kekangan untuk mengadakan sesi secara bersemuka sebelum ini.

Walaupun sesi lawatan kali ini diadakan secara maya dengan pengamalan norma baharu, banyak input-input yang berguna diperolehi oleh kedua-dua Unit Integriti dan akan diguna pakai di Universiti masing-masing terutama dalam penyediaan cadangan inisiatif dalam Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) di mana kedua-dua Universiti telah mula menggerakan proses penyediaan OACP. Sesi tersebut diakhiri dengan ucapan terima kasih oleh Ketua Bahagian SCIROSH dan sesi fotografi secara tangkap layar.

Disediakan oleh

 

Unit Integriti, SCIROSH
Universiti Sains Islam Malaysia
12 Oktober 2021