NILAI, 25 Jun 2021 – Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Unit Latihan, Jabatan Pendaftar USIM dengan julung kalinya menganjurkan Webinar Syariah Siri 1 dengan tajuk USIM ke arah Universiti Patuh Syariah. Webinar siri kali ini disampaikan oleh YBhg. Profesor Dr. Amir Husin Mohd Nor, Profesor Fakulti Syariah dan Undang-Undang yang juga merupakan Pengerusi bagi Jawatankuasa Panel Syariah USIM. Webinar ini bertujuan untuk berkongsi dengan warga Universiti dan juga orang awam berkaitan dengan peranan Panel Syariah dan sebagai kempen kesedaran kepada semua untuk mematuhi syariah. Webinar ini akan diteruskan secara bulanan dengan penglibatan panel daripada Jawatankuasa Panel Syariah USIM dan juga pakar-pakar yang dikenalpasti yang boleh mengupas isu-isu semasa dan isu syariah. Moderator bagi webinar ini adalah Dr. Nisar Mohammad bin Ahmad, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang dan juga merupakan Penyelaras Unit Pematuhan Syariah SCIROSH. Pada webinar kali ini juga terdapat penampilan khas oleh Tuan Haji Mazlan Nawang, Ketua Bahagian SCIROSH yang turut membuat pembentangan berkaitan dengan pusat tanggung jawab SCIROSH iaitu fungsi dan peranan dalam pematuhan syariah memandangkan PTj ini merupakan PTj baharu ditubuhkan pada tahun 2021.