NILAI, 30 September 2021 – Taklimat kepada Jawatankuasa Pembangunan Pelan Antirasuah Organsisi atau Organisational Anti-Corruption Plan (OACP) telah diadakan pada 30 September 2021 oleh Unit Integriti, Seksyen Integriti dan Pengurusan Risiko (SIPR), Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH). Taklimat ini diadakan secara dalam talian menggunakan platform Microsoft  Teams dan disampaikan oleh Encik Faizudin Ahmad, Penolong Pendaftar, Unit Integriti, SIPR SCIROSH dan dihadiri oleh Pegawai-Pegawai dari Pusat Tanggung Jawab yang telah dilantik oleh Naib Canselor sebagai Ahli Jawatankuasa Pembangunan OACP USIM.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti Bil. 32/2021 bertarikh 14 September 2021 telah bersetuju untuk melaksanakan pembangunan OACP di USIM dan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan OACP sebagaimana digariskan dalam buku penyediaan OACP oleh GIACC. Jawatankuasa Pembangunan OACP USIM diketuai oleh Tuan Haji Mazlan Nawang, Ketua Bahagian SCIROSH dan diurus setiakan oleh Seksyen Integriti dan Pengurusan Risiko SCIROSH.

Taklimat ini memberi penerangan kepada semua ahli jawatankuasa berkaitan dengan proses-proses pembangunan pelan OACP USIM, keperluan data, analisis data, penyediaan penilaian risiko rasuah, kerangka OACP, pelan tindakan dan inisiatif yang akan dilaksanakan untuk membendung gejala rasuah, pemantapan tadbir urus governans dan peningkatan tahap integriti dalam kalangan warga USIM.