PUTRAJAYA, 13 Ogos 2024 Pematuhan Syariah merupakan aspek penting dalam kehidupan Muslim dalam pelbagai bidang. Kefahaman mengenai Pematuhan Syariah ini perlu diberikan promosi secara komprehensif kepada semua pihak agar ia tidak dilihat hanya berfungsi dalam ruang lingkup keagamaan semata-mata. Universiti Sains Islam Malaysia merupakan universiti awam pertama yang memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti berasaskan Syariah (MS1900:2014) bagi skop Perkhidmatan Pengajian Tinggi dan Penyediaan Perkhidmatan Korporat oleh pihak SIRIM QAS International Sdn. Bhd sejak dari tahun 2017. Melalui pensijilan ini, USIM memastikan tadbir urus dan proses kerja yang dilaksanakan di USIM bagi skop berkenaan mematuhi Syariah dan nilai-nilai yang baik. 

Pengurusan kewangan adalah antara aspek yang diaudit dan dipastikan supaya ia bertepatan dengan Syariah. Isu Syariah melibatkan kewangan merupakan isu Syariah yang paling banyak dibincangkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Panel Syariah USIM. Hasil daripada pandangan Syariah ini membantu USIM mewujudkan beberapa polisi, kontrak, peraturan dan garis panduan kewangan patuh Syariah untuk dilaksanakan di peringkat universiti.  

Menyedari kepentingan ini, SCIROSH dan Jabatan Bendahari, USIM dengan kerjasama Majlis Bendahari Universiti Awam (MBUA)  telah menganjurkan Seminar Pematuhan Syariah dalam Pengurusan Kewangan Universiti/Institusi (SCKEW2024) di Hotel Everly, Putrajaya. Seminar ini berjaya menghimpunkan 100 orang peserta daripada Universiti Awam, Majlis Perbandaran, Institusi Agama serta Institusi yang memperoleh MS1900:2014 dan lain.