NILAI, 5 JUN 2021 – Bengkel Training of Trainers (ToT) bagi penawaran Kursus Integriti dan Anti-Rasuah telah diadakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom Meeting anjuran Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi persediaan tenaga pengajar dan pegawai USIM untuk menawarkan Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR).

USIM telah menerima baik hasrat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga arahan daripada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar semua Universiti Awam di Malaysia menawarkan Kursus Integriti dan Anti Rasuah kepada mahasiswa-mahasiswa agar kesedaran berkaitan dengan integriti dan anti rasuah dapat disemai di peringkat awal seterusnya mengurangkan dan mengelakkan jenayah kolar putih.

Kursus ini dijalankan selama dua (2) hari iaitu hari pertama pada 5 Jun 2021 (Sabtu) dan hari kedua pada 12 Jun 2021 (Sabtu). Menerusi kursus ini, peserta yang terdiri daripada bakal tenaga pengajar dan juga pegawai di USIM untuk mendalami dan mempelajar secara asas berkaitan dengan kandungan kursus tersebut. Kursus ini diajar sepenuhnya oleh pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sesi perkongsian pengendalian kursus oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan slot kandungan perkongsian daripada bekas pesalah rasuah.

Diharapkan agar penawaran kursus ini akan diluluskan oleh pihak Universiti dan mendapat sambutan penyertaan daripada pelajar pada masa akan datang. Unit Integriti (UI) SCIROSH menyambut baik hasrat untuk menawarkan kursus ini dan berharap kerjasama erat antara UI SCIROSH, PPKI, Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) dan juga daripada pihak SPRM.