TANJUNG MALIM, 1 Disember 2021 – Lawatan Penanda Aras (Benchmarking Visit) secara dalam talian telah diadakan oleh Seksyen Integriti dan Pengurusan Risiko, Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH) ke Unit Integriti, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim Perak pada 1 Disember 2021 (Rabu). Lawatan ini melibatkan delegasi daripada SCIROSH USIM yang diketuai oleh Tuan Haji Mazlan Nawang, Ketua Bahagian SCIROSH dan semua staf Seksyen Integriti dan Pengurusan Risiko SCIROSH. Manakala pihak Unit Integriti UPSI dihadiri oleh Tuan Ilmizan bin Ismail, Ketua Unit Integriti UPSI dan staf dari Unit Integriti UPSI.

Lawatan ini bertujuan untuk membuat penanda aras pelaksanaan semua fungsi-fungsi teras Unit Integriti sebagaimana yang digariskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 – Penubuhan Unit Integriti di Semua Agensi Awam antara USIM dengan UPSI. Lawatan yang diadakan hampir dua (2) jam secara dalam talian menggunakan platform Google Meet dapat berkongsi pengalaman bagi kedua-dua Universiti dalam memastikan tadbir urus di Universiti lebih berintegriti dan baik.

Pihak UPSI turut berkongsi pengalaman dalam pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (Organizational Anti-Corruption Plan) (OACP) yang baru dilancarkan sebulan yang lalu dan mempunyai tiga (3) bidang keutamaan serta 78 inisiatif bagi membendung gejala rasuah dan tadbir urus yang lebih berintegriti di UPSI. Pihak USIM turut dikongsikan pengalaman oleh Unit Integriti UPSI yang menggunakan khidmat kepakaran daripada Puan Halimah Md. Shariff, pesara daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pembangunan OACP UPSI.

 

Disediakan oleh

 

Unit Integriti
Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko
dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH)