PUTRAJAYA, 13 September 2022 – Seramai 10 orang pegawai daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menghadiri Seminar Peranan Penjawat Awam Belia Memutuskan Rantaian Rasuah pada 13 September 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) anjuran Kementerian Belia & Sukan dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans, Integriti & Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Program ini dihadiri seramai 256 orang peserta secara fizikal di PICC dan seramai 1,182 orang peserta secara dalam talian menerusi platform Zoom. Program ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Dato’ Ts. Kamel bin Mohamed, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan program ini telah dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Pada sesi pagi tersebut, dua pembentangan telah dibuat oleh penceramah jemputan iaitu pembentangan berkaitan dengan ‘Membanteras Rasuah, Tanggungjawab Sejagat’ oleh YBhg. Dato’ Hussamuddin bin Hj. Yaacub, Ketua Pasukan Rasuah Busters dan sesi seterusnya oleh YBhg. TPj Datuk Razim bin Mohd Noor, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM dengan tajuk ‘Rasuah Menggugat Kesejahteraan Negara’.

Manakala pada sesi petang, pengisian program dibuat secara forum bertajuk ‘Polemik Rasuah Masa Depan’ yang dimudahcarakan oleh YBrs. Dr. Rozaidi Abdul Rahim Razali, Timbalan President 1, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dan dibarisi oleh empat panelis iaitu YB Senator Fadhlina binti Dato’ Sidek, Ahli Dewan Negara, YBhg. TKPj Datuk Seri Norazlan bin Mohd Razali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Encik Mohd Izzat Afifi bin Abd Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan YBrs. Profesor Dr. Mohd Azizuddin bin Mohd Sani, Profesor Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Wakil USIM yang hadir pada program ini terdiri daripada pegawai daripada Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Undang-Undang dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama. Pada akhir program ini, peserta dibentangkan dengan 16 resolusi seminar ini berkaitan dengan peranan Penjawat Awam Belia peranan kerajaan, organisasi dan majikan, peranan ibu bapa/penjaga dan peranan bersama semua pihak dan seterusnya ucapan penutup oleh YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.