NILAI, 5 Jun 2024 – Kursus Pengurusan Risiko dan Peluang ISO 9001:2015 telah diadakan bertempat di Bilik Seminar, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kursus ini dianjurkan bagi meningkatkan kefahaman peserta tentang kaedah pengurusan risiko dan peluang dalam konteks sistem pengurusan kualiti berasaskan piawaian ISO 9001:2015.
Penceramah utama bagi kursus ini ialah Dr. Rabihah Md Sum, seorang pensyarah berpengalaman dari Program Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Fakulti Sains dan Teknologi. Beliau berkongsi pengetahuan mendalam mengenai pendekatan proaktif dalam mengenal pasti risiko serta peluang yang boleh menyumbang kepada penambahbaikan proses pengurusan kualiti.
Kursus ini telah disertai oleh pegawai dokumen jabatan dan penyelaras kualiti dari pelbagai jabatan di USIM. Mereka merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memastikan keberkesanan pengurusan risiko di peringkat organisasi masing-masing.
Sesi ini turut merangkumi aktiviti interaktif seperti perbincangan dan latihan penggunaan Dashboard Risiko dan Peluang bagi membantu peserta memahami aplikasi praktikal dan konsep yang dibincangkan. Dengan penganjuran kursus ini, diharapkan para peserta dapat melaksanakan pengurusan risiko yang lebih berkesan dan menyumbang kepada peningkatan kualiti keseluruhan di organisasi masing-masing.