BANGI, 15-16 JUN 2022 – Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH) telah menghantar seramai 6 orang wakil bagi menghadiri Bengkel Pengurusan Risiko Agensi Awam yang bertemakan ‘Pembudayaan Pengurusan Risiko Dalam Era Norma Baharu’. Bengkel ini dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH) Universiti Kebangsaan Malaysia selama dua (2) hari bermula 15 Jun 2022 secara dalam talian.

Bengkel ini telah disampaikan oleh Prof. Dr. Zaidi Isa yang merupakan seorang ahli akademik di dalam bidang Sains Aktuari dan merangkap Penolong Dekan (Pembangunan dan Infrastruktur), Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga merupakan seorang pakar dan berpengalaman dalam bidang pengurusan risiko.

Bengkel dimulakan dengan pengenalan kepada risiko dan pengurusan risiko serta kepentingan melaksanakan pengurusan risiko dalam organisasi. Pada peringkat permulaan, penceramah sangat menekankan tentang pembudayaan pemikiran berasaskan risiko. Perkara ini sangat penting bagi membolehkan sesuatu organisasi menentukan faktor yang boleh menyebabkan proses dan objektif organisasi menyimpang daripada hasil yang dirancang. Ini seterusnya, membolehkan organisasi menyediakan kawalan pencegahan untuk meminimumkan kesan negatif dan dapat memaksimumkan penggunaan peluang yang wujud.

Pengisian bengkel dipenuhi dengan penerangan berkenaan pengurusan risiko organisasi bermula dari mengenalpasti risiko, menganalisa risiko, merancang kawalan menangani risiko sehingga cara melaksanakan pemantauan terhadap risiko. Bengkel berakhir dengan sesi latihan yang dikendali oleh penceramah bagi memantapkan lagi pemahaman peserta dalam menguruskan risiko.

Akhir kata, penganjuran bengkel ini sangat memberi manfaat kepada para peserta kerana dapat menimba ilmu pengetahuan dan maklumat yang boleh dijadikan contoh di dalam melaksanakan pengurusan risiko di peringkat organisasi masing-masing.

 

Disediakan oleh,

 

Unit Pengurusan Risiko
Universiti Sains Islam Malaysia