PUTRAJAYA, 29 Ogos 2022 – Sesi Libat Urus Pelan Pengurusan Risiko dan Bencana Universiti Awam telah diadakan pada 29 Ogos 2022 bertempat di Dewan Jamuan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Putrajaya. Sesi libat urus ini dianjurkan oleh Bahagian Governan IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT sebagai satu usaha dalam memastikan setiap Universiti Awam (UA) dapat menguruskan risiko bencana masing-masing dengan lebih efisien dan teratur. Program ini dihadiri oleh wakil dari UA seluruh negara yang terlibat secara langsung di dalam pengurusan risiko universiti masing-masing.

Sesi ini dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Encik Ahmad Rizal bin Adnan, Pengarah Bahagian Governan IPTA dan menyampaikan hasrat YB Menteri Pengajian Tinggi semasa Amanat Menteri Pengajian Tinggi yang lalu agar semua UA mempunyai pelan pengurusan risiko bagi menghadapi sebarang kemungkinan risiko bencana pada masa hadapan.

Sesi ini diteruskan dengan perkongsian pertama yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Roslina Ab. Wahid, Pengarah Unit Pengurusan Risiko, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkenaan Pengurusan Risiko di UiTM: Pelan, Proses dan Pengoperasian. Sesi berikutnya diteruskan dengan perkongsian kedua oleh Profesor Madya Dr. Mohd Nazli bin Mohd Nor, Pengarah Pusat Tranformasi Perancangan Strategik dan Risiko, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkenaan dengan pengurusan risiko dan Pelan Kesinambungan Perkhidmatan yang dilaksanakan di UMT dalam menguruskan bencana yang berlaku.

SCIROSH sangat berbesar hati dengan penganjuran program seperti ini kerana dapat menimba ilmu dan melihat amalan terbaik yang dilakukan oleh universiti awam lain dalam menguruskan risiko dan bencana masing-masing. Diharapkan agar program seperti ini terus dipergiat bagi meningkatkan mutu dan produktiviti di dalam pengurusan risiko sesebuah universiti.

 

Disediakan oleh,

 

Unit Pengurusan Risiko

Universiti Sains Islam Malaysia