PULAU PINANG, 10 November 2022 – Gangguan seksual adalah satu bentuk keganasan berasaskan gender yang menghalang mangsa menikmati hak asasi manusia dan hasil pembangunan secara adil dan saksama. Isu ini telah lama menjadi cabaran dalam ruang pekerjaan dan pendidikan di Malaysia. Beberapa kes di Universiti Awam (UA) pernah dilaporkan melibatkan staf dan pelajar di institusi tersebut.

Menyedari akan permasalahan ini, Jawatankuasa Teras Gangguan Seksual (JTGS) Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah ditubuhkan pada tahun 2013 mengambil inisiatif menganjurkan satu Forum Meja Bulat Gangguan Seksual Universiti Awam Malaysia yang julung kalinya diadakan untuk membincangkan pengendalian kes gangguan seksual dengan lebih berkesan. Forum ini yang dirasmikan oleh Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat telah diadakan di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM dan melibatkan 14 UA seluruh Malaysia.
Objektif forum ini diadakan adalah untuk berkongsi pengalaman dan penyelesaian bagi menghasilkan satu resolusi yang akan membantu UA mengendalikan isu gangguan seksual secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek keadilan dan kesaksamaan kepada pihak yang terlibat.
Turut hadir ialah Pengerusi JTGS USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Forum Meja Bulat Gangguan Seksual UA Malaysia, Profesor Dr. Hajar Abdul Rahim; Timbalan Pengerusi JTGS USM, Profesor Dato’ Dr. Noraida Endut; Profesor Kehormat merangkap Penceramah Forum Meja Bulat Gangguan Seksual, Profesor Emerita Dato’ Dr. Rashidah Shuib; Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Senutha Poopale Ratthinan dan Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang, Ahmad Shukri Jamaluddin
Sumber buletin
https://www.facebook.com/USMOfficial1969/