PUTRAJAYA, 12 Mei 2022 – Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengadakan Sesi Taklimat Penggunaan Sistem AIMS (Agency Integrity Management System) pada 12 Mei 2022 secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom Meeting kepada semua Unit Integriti daripada 20 Universiti Awam Malaysia.

Taklimat ini dianjurkan oleh Biro Multimedia dan ICT, Majlis Pegawai Integriti Universiti Awam Malaysia (MPIUA) yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada semua Pegawai Integriti UA berkaitan penggunaan Sistem AIMS dan juga kewajipan untuk menghantar laporan integriti setiap 3 kali setahun berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013.

Taklimat ini disampaikan oleh PPj Fariza binti Omar daripada BPIA SPRM dan ucapan aluan sesi telah disampaikan oleh Puan Nor Aishah Samah, Ketua Unit Integriti Universiti Malaya selaku Pengerusi MPIUA. Unit Integriti USIM merupakan ahli bagi Biro Multimedia ICT bersama dengan Unit Integriti daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaya (UM).

Diharapkan agar sesi taklimat ini dapat memberi manfaat dan pengetahuan kepada semua Unit Integriti UA dan diharapkan agar pelaporan integriti setiap penggal dapat dikemukakan secara konsisten oleh UA mengikut tempoh yang ditetapkan.