Kuala Lumpur, 7 – 9 Mei 2024, Kursus kejurulatihan Antigangguan Seksual telah diadakan di Moot Court Institut Sosial Malaysia (ISM), yang disertai oleh 30 orang peserta daripada Majlis Pegawai Integriti Universiti Awam (MPIUA). Kursus ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam meningkatkan pemahaman dan pengetahuan pegawai-pegawai integriti Universiti Awam mengenai isu gangguan seksual serta memberikan mereka kemahiran dalam melaksanakan peranan mereka sebagai jurulatih dalam menangani isu tersebut.

Sepanjang tiga hari kursus, peserta terlibat dalam pelbagai sesi latihan interaktif, perbincangan kumpulan, dan latihan praktikal yang melibatkan teknik kejurulatihan. Penceramah yang pakar dalam bidang kejurulatihan ini dijemput untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dengan para peserta. Para peserta juga berpeluang untuk berbincang tentang isu-isu semasa yang berkaitan dengan gangguan seksual dalam persekitaran universiti, serta cara-cara untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan di kalangan warga universiti. Mereka juga diberikan panduan tentang cara menangani aduan gangguan seksual dengan penuh keprihatinan, tanpa prejudis, dan mengikut prosedur yang sah. Sesi santai dan menarik ini termasuk simulasi ‘role-play’ yang dijalankan oleh setiap peserta amat membantu dalam memahami konsep kejurulatihan antigangguan seksual dengan lebih terperinci.

Kursus ini adalah hasil kerjasama yang erat antara Majlis Pegawai Integriti Universiti Awam (MPIUA) dan Institut Sosial Malaysia (ISM), yang turut memberi manfaat besar dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai-pegawai integriti. Dengan penglibatan aktif para peserta, diharapkan lebih banyak lagi inisiatif serupa akan dilaksanakan untuk memantapkan lagi usaha-usaha pemantapan integriti dan kesedaran anti-gangguan seksual di universiti-universiti awam di Malaysia.

Disediakan oleh,

Sakeenah Shahrome

Seksyen Integriti. SCIROSH