NILAI, 8 Mac 2022 – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN 2.0) telah membuat pengauditan kepada semua agensi kerajaan termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2021-2022. Hasil daripada pengauditan SPAN 2.0 pada tahun 2021, USIM telah memperolehi poin indeks komposit sebanyak 86.03% yang merupakan poin tertinggi USIM berbanding 85.00 pada tahun 2018, 74.48 pada tahun 2017 dan 80.95 pada tahun 2016.

Terdapat lima perkara yang dinilai bagi pengauditan SPAN 2.0 ini iaitu Rekod Amalan Nilai (RAN), Maklum Balas Pelanggan (MBP), Indeks Nilai Ideal (I), Indeks Nilai Peribadi (P) dan Indeks Nilai Organisasi (O).  Kelima-lima pencapaian domain ini akan dikira menjadi poin indeks komposit di mana empat (4) tahap akan diperolehi setiap agensi iaitu tahap cemerlang (90 dan ke atas), boleh diterima (80 hingga 89), perlu penambahbaikan (60 hingga 79) dan sangat perlu penambahbaikan (59 dan ke bawah).

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dengan pelaksanaan SPAN 2.0 ini khususnya kepada Pasukan Pengurusan SPAN 2.0 dan penyumbang data daripada PTj terlibat kerana melaksanakan Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN 2.0) sebagai usaha untuk meningkatkan pembudayaan nilai dan integriti sektor awam ke arah penyampaian Perkhidmatan Awam yang efektif dan cemerlang.