NILAI, 2 MEI 2024 – Kursus Penyediaan Risk Assessment and Risk Treatment Plan ISO 27001:2022 telah diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kursus ini dirancang untuk memberi pendedahan dan panduan kepada peserta dalam menyediakan pelan penilaian dan rawatan risiko berkaitan keselamatan maklumat mengikut standard ISO 27001:2022.
Penceramah jemputan, Encik Mohd Nazim Harun, seorang ISMS Auditor dan Konsultan dari Tujuan Cahaya Resources, telah berkongsi pandangan serta pengalaman beliau mengenai proses sistematik dalam pengurusan risiko keselamatan maklumat. Fokus utama adalah pada kaedah mengenal pasti, menganalisis, dan menguruskan risiko secara efektif.
Kursus ini melibatkan penyertaan pegawai dokumen jabatan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan risiko Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) di pelbagai jabatan di USIM. Aktiviti seperti perbincangan praktikal dan latihan aplikasi membantu peserta memahami cara mengimplementasikan langkah-langkah rawatan risiko secara menyeluruh.
Kursus ini diharapkan dapat membantu peserta memperkukuhkan amalan pengurusan keselamatan maklumat di jabatan masing-masing sekaligus memastikan pematuhan kepada piawaian yang ditetapkan.