PULAU PINANG, 8 Mac 2024- Sebuah lawatan penandaarasan telah dijalankan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Lawatan ini melibatkan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama dan perkongsian ilmu dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Program ini berlangsung pada pukul 10.00 pagi di Bilik Seminar, Bangunan Toray, sebelum meneruskan sesi di Bilik Mesyuarat 3, Canselori 2 pada jam 3.00 petang.
Pihak USM yang terlibat dalam lawatan ini ialah Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Unit Pengurusan Risiko, KPI dan Naziran, Pusat Pengurusan Bencana, Pusat Perancangan Institusi & Strategik dan Persatuan Pegawai Sains. Sementara itu, dari USIM pihak yang terlibat ialah Seksyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH) dan Wakil Pegawai Sains.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk menggalakkan perkongsian ilmu pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman antara kedua-dua universiti. Melalui lawatan ini, dapat melihat secara langsung suasana tempat kerja dan ruang yang digunakan dalam Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di USM. Selain itu, lawatan ini merupakan salah satu alternatif bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang tugas masing-masing secara langsung di samping mengadakan jalinan hubungan dan kerjasama yang lebih erat di antara USIM dan USM bagi melancarkan urusan dan proses kerja.
Secara keseluruhannya, lawatan penandaarasan ini memberi alternatif yang berharga bagi membuka minda yang sihat antara USIM dan USM untuk lebih bersemangat dalam meningkatkan lagi personaliti, imej dan kualiti kerja dalam aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.