SEREMBAN, 17 November 2021 – Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan bertempat di Jalan Dato Kelana Makmor, Seremban Negeri Sembilan.

Lawatan dan perbincangan ini diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Mazlan Nawang, Ketua Bahagian SCIROSH bersama dengan Encik Mohd Fazhiruddin Kamarudin, Penolong Pendaftar dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM selaku Penyelaras Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) USIM serta Penolong Pendaftar dari Unit Integriti SCIROSH selaku urus setia.

Lawatan ini disambut oleh YBhg. Tuan Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail Pengarah SPRM Negeri Sembilan bersama dengan Puan Yasmin Azura Yahya, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Negeri Sembilan. Lawatan ini merupakan perancangan daripada Unit Integriti SCIROSH bersama dengan Tuan Zamruddin Muhidin, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Sembilan yang bertujuan untuk membincangkan bersama dengan pihak SPRM Negeri Sembilan berkaitan dengan program dan aktiviti berkaitan dengan integriti yang akan dilaksanakan secara kerjasama antara USIM dengan SPRM Negeri Sembilan.

Lawatan yang diadakan selama dua jam tersebut mendapat pelbagai input untuk pemantapan tadbir urus, integriti dan antirasuah di USIM khususnya kepada staf dan juga pelajar. Lawatan ini juga turut membincangkan berkaitan dengan aktiviti yang akan dilaksanakan oleh AMAR USIM yang merupakan tunjang utama dalam memberi kesedaran berkaitan integriti kepada pelajar USIM. Sesi lawatan ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata bagi kedua-dua pihak dan sesi fotografi di Pejabat SPRM Negeri Sembilan. Diharapkan agar segala perancangan yang dibincangkan dapat dilaksanakan dengan baik pada tahun hadapan.

 

Disediakan oleh

Unit Integriti
Seksyen Integriti dan Pengurusan Risiko
Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko
dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Tarikh: 19 November 2021