NILAI, 8 September 2021 – SCIROSH dengan kerjasama Jabatan Bendahari, Bahagian Audit Dalam dan Jabatan Pendaftar telah menganjurkan Webinar Integriti Siri 1 – Integriti dan Akauntabiliti dalam Pengurusan Kewangan pada 8 September 2021 secara dalam talian menerusi platform Microsoft Teams. Webinar ini merupakan inisiatif yang diambil oleh USIM dalam meningkatkan kefahaman dan kesedaran staf berkaitan dengan antirasuah dan integriti.

Webinar ini diadakan selama 2 jam bermula pada jam 10.00 pagi dengan ceramah oleh YBrs. Puan Halimah Md. Shariff, Mantan Ketua Cawangan Pembangunan Modul dan Penyelidikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan dengan Integriti dan Akauntabiliti dalam Pengurusan Kewangan. Beliau mengupas isu-isu semasa berkaitan dengan rasuah dan salahguna kuasa yang melibatkan penjawat awam khususnya di institusi pendidikan tinggi negara.

Sesi seterusnya disampaikan oleh Puan Ilham Suhana Idris, Penolong Bendahari Kanan daripada Jabatan Bendahari berkaitan dengan Pengurusan Aset serta Peminjaman Aset Semasa Tempoh Bekerja Dari Rumah (BDR). Topik ini adalah relevan dengan isu semasa iaitu penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau Fasa Pemulihan Negara yang mana banyak organisasi telah mengehadkan pergerakan ke tempat kerja dan fokus bekerja dari rumah. Kepentingan menjaga aset Universiti khususnya komputer riba adalah sangat penting semasa BDR bagi mengelakkan kes kebocoran maklumat, keselamatan data serta mengelakkan kecurian aset tersebut disebabkan oleh kecuaian staf.

Sesi terakhir disampaikan oleh Puan Hafizah Marzuki, Juruaudit Kanan daripada Bahagian Audit Dalam USIM yang mengulas berkaitan dengan Ketirisan dalam Kewangan: Tinjauan di USIM. Beliau merumuskan faktor-faktor yang memberi kecenderungan kepada staf untuk melakukan kesalahan serta memberi peringatan kepada staf untuk mematuhi segala peraturan kewangan yang berkuatkuasa agar tiada penemuan ketirisan kewangan berlaku yang menyebabkan pembaziran wang kerajaan.

Webinar ini diakhiri dengan ucapan penghargaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Webinar kali ini iaitu Puan Zuraida Zakaria, Timbalan Bendahari Kanan dari Jabatan Bendahari serta ulasan daripada Tuan Haji Mazlan Nawang, Ketua Bahagian SCIROSH merangkap Pengerusi Bersama. Webinar ini diharapkan dapat diteruskan lagi dengan pengisian yang lebih menarik serta boleh memberi kesedaran dan penghayatan nilai integriti dalam kalangan warga USIM.

 

Disediakan oleh

 

Faizudin Ahmad
Penolong Pendaftar
Unit Integriti
Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan