SEPANG, 23 Mac 2022 – Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 23-24 Mac 2022 bertempat di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang, Selangor anjuran Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Majlis perasmian persidangan ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Seri Mohd Shafiq bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia bagi pihak Ketua Setiausaha Negera, YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali. Majlis ini juga turut dihadiri oleh Ketua Pengarah GIACC, JPM iaitu YBhg. Datuk Seri Mohd Sallehhuddin bin Hassan.

Persidangan ini diadakan bertujuan sebagai platform untuk berkongsi hasil kajian yang dibuat oleh institusi pengajian tinggi dan institusi penyelidikan dalam konteks governans, integriti dan antirasuah. Selain itu, persidangan ini turut membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan risiko rasuah, perlanggaran tatakelakuan integriti serta kelemahan tadbir urus dalam sektor-sektor yang dikaji.

Dua (2) kumpulan daripada lapan (8) pembentangan hasil kajian ini merupakan hasil kajian yang telah disiapkan daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bertajuk Pengurusan Governans dan Risiko Rasuah dalam Institusi Pentadbiran dan Di Kalangan Kumpulan Etnik Orang Asli yang diketuai oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Izawati binti Wook, Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Manakala satu lagi penyelidikan bertajuk Pengurusan, Tadbir Urus dan Risiko Rasuah Institusi Mahkamah Syariah, Wakaf, Zakat dan Masjid di Malaysia yang diketuai oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Mahazan bin Abdul Mutalib @ Taib, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Seramai 137 peserta telah menghadiri persidangan ini yang terdiri daripada peserta agensi kerajaan, swasta, badan-badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan belia dan lain-lain lagi. Selain itu, sesi ini juga turut dihadiri secara dalam talian lebih daripada 207 orang peserta. Diharapkan dengan pembentangan hasil kajian daripada USIM dan juga institusi-institusi berkaitan dapat memberi input kepada pihak yang berkepentingan dalam menangani isu risiko rasuah agar negara Malaysia menjadi negara yang mempunyai budaya berintegriti tinggi dan bebas daripada rasuah.