PUTRAJAYA, 21 Disember 2022 – Seramai lebih 69 orang pelajar Kursus Integriti dan Anti-Rasuah (KIAR) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai program Lawatan Sambil Belajar ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 21 Disember 2022 bertempat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada modul kursus ini yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan dengan SPRM.

 

Pelajar turut berpeluang untuk melihat bangunan ikonik SPRM yang menjadi mercu tanda di Putrajaya ini dengan melawati konti radio MACC.fm, bilik kawad cam dan bilik rakaman perbualan siasatan. Semasa sesi lawatan ini, pelajar turut diberi taklimat perkongsian oleh Pegawai Siasatan SPRM iaitu PPj Izam PPj Mohamad Izam bin Abd Nasir, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.

 

Lawatan kali ini diiringi oleh Dr. Kamal Azmi Abdul Rahman dan Encik Faizudin Ahmad sebagai pengajar bagi kursus ini manakala pihak di pihak SPRM pula adalah PPj Mohamad Izam bin Abd Nasir dan KPKPs Effezul Azran Abd. Maulup. Sepanjang lawatan diadakan, banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi oleh pelajar serta memahami dengan lebih mendalam berkaitan dengan fungsi dan pengurusan SPRM.

 

Dengan adanya lawatan ini, pelajar-pelajar diharapkan dapat menerapkan nilai integriti dalam diri masing-masing serta mengambil iktibar terhadap kes-kes yang dikongsikan oleh pihak SPRM berkaitan dengan salahlaku jenayah. Pihak USIM merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak SPRM khususnya kepada Bahagian Pendidikan Masyarakat di atas kesudian menerima lawatan ini dan berkongsi pengalaman dengan pelajar.